Pemain Singapura, Safuwan Baharudin terus kekal beraksi dalam Liga Malaysia apabila diumumkan kembali menyarung jersi Selangor FC walaupun terdapat minat dari kelab Thailand.

Sebelum ini beliau menandatangani kontrak dengan Negeri Sembilan FC (NSFC) selama enam bulan atas faktor kecederaan dan pemain berkenaan tidak memperbaharui kontraknya.

Safuwan mula menyarung jersi NSFC pada awal tahun ini walaupun ketika itu banyak pihak terutama peminat pasukan berkenaan mempersoalkan tahap kecergasannya.

Ia susulan pemain berkenaan dilaporkan kurang cergas akibat kecederaan dialaminya ketika bersama Selangor pada hujung musim lalu.

Bagaimanapun, dalam tempoh enam bulan, Safuwan dilihat berjaya memainkan peranan proaktif dalam membantu NSFC mengharungi saingan Liga Super dan Piala FA.

Safuwan merekodkan 12 penampilan bersama skuad bimbingan K Devan dengan penampilan terakhirnya sebagai pemain gantian ketika menentang Johor Darul Ta’zim di tempat lawan, 8 Julai lalu.

Namun begitu, kemasukan semula pemain berusia 31 tahun ini mengundang pelbagai reaksi negatif dalam kalangan penyokong Selangor.

“Saya buat keputusan ke Selangor semula kerana nasihat daripada Ibu Bapa. Saya kenal hampir semua pemain dalam 70 peratus, tiada masalah dari segi komunikasi kerana lebih 3 tahun saya di Selangor,” jelasnya.

Safuwan juga mengakui beliau tidak pernah meninggalkan Selangor dan berharap para penyokong dapat menerimanya kembali.

“Saya tidak tinggalkan pasukan pun, kecederaan yang lalui pada 6 bulan yang lalu menyebabkan saya perlu membuat keputusan penting untuk diri saya.

“Saya harap penyokong dapat terima saya, saya akan cuba buat yang terbaik. Penyokong Selangor memang luar biasa, setiap kali hari perlawanan, stadium sentiasa penuh,” katanya menerusi laman YouTube rasmi Selangor FC.